Selama lima bulan blog ini dalam keadaan inertia, macam-macam berlaku. AS results, IELTS results, pergaduhan, kematian, krisis Kaleidoskop yang skop kemarahannya merintasi batch, cinta aku dengan dunia lomo yang makin pudar, ibarat suami isteri yang dah terlalu lama berkahwin sehingga mereka bosan antara satu sama lain (atau suami isteri yang kantoi khalwat, dipaksa nikah, lepas tu sedar yang mereka tidak menyintai satu sama lain.). Pendek kata seluruh spektrum kehidupan telah aku merasai sepanjang 5 bulan ini. Nak aku tulis pasal tu sumua?
Maleh den.
Sebaliknya Si Penulis nak tulis pasal cintaku dengan dunia sastera Melayu, di mana titik permulaannya berasal daripada pelangganannya kepada majalah-majalah Dewan Sastera zaman sekolah menengah rendah. Masa Form One, aku bajet intektual. Orang baca Kreko, aku baca Muhammad Haji Salleh. Orang baca sinopsis Sehijau Warna Daun, aku bantai baca Bukit Kepong. Kanang anak Langkau beserta Di Hadapan Pulau semua aku dah khatam sebelum habis Form One. Majalah Dewan Sastera, tiap bulan aku beli. Tengok balik koleksi Dewan Sastera aku, dah setebal dua tiga buku telefon dah.
Malah, setiap minggu aku yang memang anti-UMN—eh, anti-establishment sejak dari azali lagi sanggup beli surat khabar Mingguan Malaysia atas dua sebab: 1) nak baca nukilan mantan mufti Perlis, Ustaz Asri dengan 2) nak baca puisi dan cerpen di bahagian sastera. Sajak-sajak yang berjaya menombat hatiku aku potong dan buat scrapbook (sayang, buku tu dah hilang dah, menjadi crapbook).
Alkisahnya aku menjadi fanatik lunatik dalam segala hal kesasteraan. Shahnon Ahmad, A.Samad Said, Keris Mas, Muhammad Haji Salleh, Arena Wati, Usman Awang aka Tongkat Warrant, Fatimah Busu semua aku kenal. Kalau tak baca karya mereka pun aku ingat gak nama karya yang dikarang mereka. Tidak dilupakan juga penulis-penulis baru yang melanda dunia penulisan Melayu dalam satu ombak yang dipimpin oleh Faisal Tehrani dan Nisah Haji Haron. Blog-blog dorang aku layan kot.
Tapi, jikalau ada diantara kamu pembaca yang mengenali diriku sekarang, tak pernah kau nampak aku memegang buku berbahasa Melayu, apatah lagi hasil titik peluh sasterawan-sasterawan tempatan kita?
Entah, mungkin cintaku makin malap. Nak terangkan secara terperinci mungkin dapat menimbulkan kemarahan sesetengah pihak yang akan lantang bersuara dan memanggilku ‘pembelot bahasa’ atau tidak patriot. Namun, pada pendapat akulah, skop subjek Kesusasteraan tempatan tak mendalam dan gaya ekspresinya tidak sebebas sastera luar. Temanya tidak bosan dengan pembelaan hak-hak Melayu, dan pada masa yang sama sering menyinonimkan Melayu=Islam. Gaya penulisan pun tidak eksperimental serta lebih terikat pada satu stail yang sama.
Novel-novel romantik dan thriller(yang dilabel sebagai picisan oleh Pendekar-Pendekar Bahasa) lebih popular dalam kalangan belia. Jangan salahkan belia sahaja, kata mereka tidak suka membacalah atau lebih mementing hiburan. Dalam karya sastera pun, kenalah ada hiburan. Janganlah jadi hambar sahaja, dan bajet intelektual sepanjang masa. Memang orang tau kau pandai, tapi janganlah kau gebang panjang-panjang yang kau pandai tetapi tidak melayan para pembaca dengan santapan hiburan. Tengoklah karya-karya luar macam Catch-22 (Joseph Heller) atau P.G.Wodehouse, mesejnya mendalam tapi disampaikan secara satira yang mampu membuatkan pembaca bergolek di atas lantai sambil ketawa. Takkan tidak boleh ada sebarang perkahwinan antara kabilah popular @ picisan dengan kabilah sastera. Itulah yang aku nanti-nantikan.
DBP pula bertindak sebagai badan kerajaan, dan bukan sebagai badan bahasa yang merdeka dari sebarang institusi politik. Tidak hairanlah kebanyakan karya sekarang bersifat pro-establishment dan tidak melawan arus. Takut menggoncang bahtera. Apa gunanya penulis kalau setakat melayan kerenah mereka yang berkuasa? Apa fungsimu jikalau kau hanya memaniskan yang pahit dan mengphotoshop gambar yang buruk?
Sebenarnya blog yang separa berapi ini tidak menuju kepada orang-orang lama seperti A.Samad Said/Keris Mas/Shahnon Ahmad. Mereka sedar akan kerja mereka sebagai seorang penulis. Penulis adalah soldadu bersenjatakan pena. Perjuangannya tidak akan tamat selagi ada ketidakadilan. Mereka boleh bertindak dimana-mana sahaja. Kalau tidak di dijalanan, maka mereka boleh bertarung menerusi mesin taip (tapi kalo zaman sekarang, laptop…ato macbook…sigh…). A. Samad Said ditangkap time Bersih. Shahnon Ahmad menulis SH!T (yang mengkritis politikus yang secara senyap-senyap memakan hasil negara macam tikus.) Penulis macam inilah yang gua respek dan membuatkan gua masih menaruh harapan terhadap Kesusasteraan Melayu.
Sebenarnya ilmu ana (kata ganti diri nama asyik berubah sebab tak tau nak guna yang mana…) dalam seni penyusunan ayat ini masih dalam tahap infancy. B.M. ana pun masih tunggang-langgang (terbukti melalui blog ini) dan gua pun masih tak kenal kebanyakan penulis Melayu.
Antara cita-cita gua adalah untuk menjadi translator karya-karya Melayu ke dalam Bahasa Inggeris. Biar dunia tahu kebolehan kita dalam dunia sastera. Mana tahu sebab translation gua, dapat lak seorang penulis berbahasa Melayu yang memenangi hadiah Nobel prize. Ehek ehek (dahlah gampang, menggedik lak tu, tampor ko kang Sapik =_=)
Saya juga dah mula mengenali karya-karya Underground. Meskipun masih tidak mendalami lagi dan tak kenal siapa peneraju-peneraju gerakan tersebut, tetapi insya-Allah satu hari nanti saya akan mengenali mereka dengan lebih rapat lagi. And maybe I’ll join their ranks.
Tak puas hati. Tak setuju. Nak gaduh? Perenggan panjang sangat sampai buta baca? Kat balai (komen) cerita.
Wassalam.
P/S: Sebenarnya tajuk blogpost ni bukan tiada kaitan dengan novel A.Samad Said, iaitu Hujan Pagi atau novel zaman PMR, iaitu Panas Salju. Saja je kasi nama sedap untuk blogpost ini. Sebab luar hujan. Tak dapat jogging. Lepastu bosan dan tidak dapat tidur (insomnia). Oleh hal yang demikian, tercetuslah idea untuk mengupdate blog ini.
No comments:
Post a Comment