Saturday, November 10, 2012

Kisah Basah di Dalam Terowong

Salam 'Alaik,

Amaran: Pertama sekali, sebelum membaca entri ini, sesiapa yang tengah makan, minum atau apa-apa yang sekufu dengannya silalah berhenti berbuat demikian. Kepada mereka yang hipersensitif, yakni alah-kekotoran, bacalah bahan-bahan bacaan yang lebih bermanfaat, seperti entri-entri di lama misalnya..

Bukan terowong sebenar.



Tempat: Terowong rambang berhampiran Taman Tasik Perdana.

Masa: Jam 5-6 ptg.

Hujan. Guruh. Petir. Ketiga-tiga pendekar alam ini bersatu berdansa dalam pesta badai. Sang Penulis tengah berteduh di bawah terowong jambatan, membaca buku (seperti biasa, mamat ni nak wat apa lagi?) sambil menuggu hujan reda.

Badannya basah, kerana meredah badai yang disangka pada awalnya gerimis. Kesejukan yang memeluk segala tisu dan otot pasti akan merangsang tubuh badan mengeluarkan liquid yang terkandung dalam empangan peribadi dalam proses meningkatkan suhu badan.

Di jalan raya bersebelahan, menghala ke arah kota raya, kereta-kereta terperangkap dalam sangkar trafik. Pastinya suhu yang rendah bakal mencabar sphincter muscle para motoris. Mereka harus berjuang dalam suatu pertempuran purba yang lazim dihadapi manusia murba: menahan kencing.

Sedang Sang Penulis menatapi bukunya, muncul seorang lelaki berbadan gendut berbaju putih; uniform drebar teksi. Mukanya citra resah gelisah. Matanya yang terkejut menyapa mataku yang terkedu. Apakah gerangan dia berada di sini? Kedua-dua hati bertanya pada diri sendiri.

Sang Drebar Teksi membuka bicara: "Dik, nak buang air dik."

Sang Penulis: "Uh....huhh." (lima harakat)

Sang Penulis bingkas bangun dari duduk silanya. Matanya cuba menghayati setiap aksara dalam kitab, tapi gagal.

Sang Drebar Teksi meneruskan urusannya.

Detik awkward paling lama di dunia.

Setelah selesai melaksanakan tanggungjawab, Sang Drebar Teksi kembali ke keretanya. Ia telah diparkir di tengah jalan raya, menghalang laluan trafik. Tapi apakah daya, dia telah tewas dalam pertarungannya. Kesian.

Hujan yang lebat ini sememangnya hujan rahmat. Rezeki diturunkan, lebih-lebih lagi untuk spesis Drebar Teksi. Maklumlah ramai yang terperangkap dalam hujan seperti Sang Penulis, tapi mereka tak sedegilnya untuk berbelanja menggemukkan kocek pemandu teksi.

Sang Drebar Teksi hilang mencari rezeki di muka bumi.

Sang Penulis masih berada di dalam terowong mengharapkan hujan reda. Isyarat elektrik dari empangan telahpun ditransmit kepada otaknya supaya mencari tandas terdekat. Tapi pesta badai masih belum sampai ke penghujungnya...



No comments:

Post a Comment